FILEM HIKAYAT MERONG MAHAWANGSA BAKAL MENGGEGAR???


Industri perfileman tempatan bakal melakar satu lagi sejarah baru apabila filem Hikayat Merong Mahawangsa (HMM) bakal ditayangkan di 72 negara melalui syarikat pengedaran perfileman terkenal, Epic Pictures yang berpangkalan di Los Angeles, California.

Antara negara yang bakal menayangkan HMM dengan menggunakan judul The Malay Chronicles: Bloodlines itu adalah Amerika Syarikat, Jerman, Eropah, United Kingdom, Russia, Kanada, China dan Australia.

Malah, kebanyakan peminat industri perfileman tempatan teruja untuk menyaksikan sejauh mana kehebatan filem epik pertama dan juga filem kelapan terbitan KRU Studios Sdn Bhd itu.

Seperti yang diketahui, pembikinan filem yang diadaptasi daripada prosa Hikayat Merong Mahawangsa meriwayatkan sejarah terawal kerajaan Kedah ini bukanlah satu kerja yang mudah untuk disiapkan, sebaliknya ia memakan masa lebih daripada dua tahun untuk disiapkan.

Penggambaran dibuat selama 52 hari bermula 9 Jun 2009 hingga 8 Ogos 2009. Manakala pasca produksi pula, ia mengambil masa selama setahun.

Filem yang bakal menggunakan 70 peratus Bahasa Inggeris dan 30 peratus Bahasa Melayu klasik akan menunjukkan kehebatan empayar Melayu kurun ke-2 di Tanah Melayu.

Yusry turut menggunakan kepakarannya dalam teknik imej janaan komputer (CGI) untuk menghasilkan latar belakang berkonsepkan sejarah serta latar fizikal yang hanya terdiri daripada empat kapal, perkampungan Melayu pada abad kedua, pelabuhan kapal, set penggambaran istana di Rom, China dan juga pelabuhan Goa di India.

Dianggarkan 3,000 shot menggunakan teknik CGI.

Sinopsis

Pada tahun 120 sebelum Masihi, Empayar Rom ketika itu di bawah pemerintahan Hadrian sementara di negara China, Dinasti Han sebuah empayar yang kuat dengan memperluaskan pemerintahannya sehingga ke Asia Tengah.

Sewaktu angkatan Rom membaik pulih kapal mereka di Goa, mereka meminta pertolongan Merong Mahawangsa mengiringi Putera Rom ke Langkasuka (dikatakan terletak di utara Malaysia) untuk berkahwin dengan seorang Puteri China yang cantik dari Dinasti Han.

Bagaimanapun, puak lanun dari Geruda mempunyai perancangan yang berbeza.

Mereka memutuskan untuk menculik Puteri China dan menjadikannya sebagai tebusan. Di hujung perairan Selat Melaka, Merong Mahawangsa dan angkatannya diserang Geruda. Apakah kesudahannya??? Saksikannya di pawagam seluruh negara pada 10 Mac ini.




Sumber: Sinar Harian

7 Comments
Comments
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More