STESEN KERETAPI SEREMBAN BERKONSEP KL SENTRAL

Kerajaan Negeri Sembilan akan membangunkan Stesen Keretapi Seremban mengikut konsep KL Sentral di ibu negara.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pembangunan komprehensif itu akan dilaksanakan oleh syarikat Malaysian Resources Corporation Bhd. (MRCB) yang membangunkan KL Sentral.

‘‘Cadangan untuk projek ini akan dibawa ke kerajaan Persekutuan untuk kelulusan sebab kawasan tersebut adalah milik Keretapi Tanah Melayu Bhd. (KTMB),” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan kunci 44 buah teres industri di Senawang Sentral Business Park di sini, baru-baru ini.


Senawang Sentral Business Park yang dibangunkan oleh MRCB di kawasan seluas 23 ekar melalui tiga fasa yang mengandungi 144 teres industri 1 1/2 tingkat, 21 buah lot kedai dua tingkat dan 12 buah industri berkembar.

Turut hadir ialah Pengerusi MRCB, Datuk Azlan Zainol dan Pengarah Urusan MRCB, Shahril Ridza Ridzuan.


Mohamad Hasan hadir di majlis penyerahan kunci 44 unit industri teres 1 1/2 tingkat di Senawang Sentral Business Park, Seremban, baru-baru ini.

Mohamad berkata, pembangunan Stesen Keretapi Seremban di kawasan seluas 100 ekar itu akan mengandungi pusat konvensyen, hotel, pusat perniagaan, pejabat dan sebagainya.

Kata beliau, sudah sampai masanya kawasan tersebut dibangunkan kerana ia selama ini ‘menyakitkan mata’.

“Saya harap MRCB akan mengemukakan kertas cadangan secepat mungkin dan kerajaan negeri akan menyokong projek tersebut. Kita amat gembira projek ini akan menjadi realiti kerana ia seiring dengan hasrat kita untuk melihat kawasan itu dibangunkan kerana jika tidak ia akan menyakitkan mata,” katanya.

Sementara itu, Azlan berkata, cadangan untuk projek ini akan dikemukakan kepada kerajaan Negeri Sembilan secepat mungkin.

“Konsep pembangunan Stesen Keretapi Seremban adalah sama seperti pembangunan KL Sentral. Kita sedang meneliti beberapa perkara termasuk daripada segi kos sebelum cadangan ini dikemukakan kepada kerajaan Negeri Sembilan.

“Kita bersedia untuk membangunkan kawasan ini memandangkan ia adalah satu daripada stesen keretapi yang sibuk di luar Kuala Lumpur. Kita hendak majukan kawasan ini supaya pembangunan bandar Seremban menyeluruh sebagaimana yang dihasratkan oleh Menteri Besar,” katanya.

sumber:Jabatan Keretapi Malaysia

0 Comments
Comments
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More